Wardina: Kalimah Allah selamatkan keluarga saya
semoga kak wardina dan family tabah dengan apa yang terjadi.. alhamdulilah kak dan family selamat dengan berkat Kalimah Allah..
AMPANG - "Keluarga saya tak putus-putus membaca ayat suci al-Quran agar kami sekeluarga dilindungi oleh Allah dan tidak diperapa-apakan oleh perompak."
Demikian kata Wardina Safiyyaf Fadlullah, pelakon dan model, ketika menceritakan detik-detik cemas sewaktu rumahnya di Bukit Utama 2 dekat sini, dipecah masuk tiga perompak bertopeng, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi ini disedari Wardina apabila tubuhnya digerakkan oleh perompak semasa dia tidur berseorangan kerana demam.
Wardina berkata, suaminya, Ikhwan Johari pula tidur bersama anak lelakinya di bilik lain dan tersedar apabila perompak tersebut turut menggerakkan suaminya.
Menceritakan saat cemas itu lagi, Wardina berkata, kerana terlalu takut, dia cuba melindungi dirinya dengan hanya berselimut.
"Saya cuba elakkan muka saya dilihat dengan berselimut kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas diri saya dan hanya kalimah Allah yang saya mohon bantuan ketika itu.
"Kemudian perompak tersebut meminta barang kemas saya tetapi saya tiada barang kemas kecuali cincin pusaka nenek dan gelang hantaran perkahwinan yang saya serahkan," kata Wardina.
Katanya, kemudian tiga anaknya, suami dan seorang pembantu rumah berkumpul dalam biliknya dengan berselimut sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan harapan hati perompak tersebut dapat dilembutkan.
Dia menambah, sewaktu keluarga tidak henti-henti melafazkan kalimah suci al-Quran, perompak tersebut tidak tenang dan berkali-kali mengarahkan mereka berhenti melafazkannya.
"Pada waktu itu juga, seluruh keluarganya nampak dengan jelas ketiga-tiga perompak tersebut termasuklah anak lelakinya yang meraung menangis dan kini dalam keadaan trauma dengan kejadian tersebut.
"Mujurlah semasa kejadian itu, jiran di belakang rumah saya menyedari sesuatu berlaku dan menghubungi pengawal keselamatan taman supaya menyiasat apa yang berlaku.
"Sebaik sahaja perompak tersebut dengar pengawal keselamatan tiba , barulah ketiga-tiga perompak tersebut beredar," kata Wardina lagi.
Sementara itu, Ikhwan berkata, kakinya telah dipukul dengan kayu dan 'screw driver' apabila cuba menjerit selepas sedar dia digerakkan oleh perompak.
"Saya telah memberitahu kepada perompak tersebut agar tidak menyentuh isteri dan anak-anak saya.
"Jelas perompak tersebut mahukan wang dan barang kemas sedangkan kami tidak menyimpan barang-barang kemas selain buku-buku, namun mereka tidak berpuas hati dengan alasan kami.
"Perompak tersebut turut meminta saya menyerahkan dompet tetapi bernasib baik saya tidak ada wang tunai yang banyak ketika itu. Antara lain barang yang dicuri adalah empat komputer riba, telefon bimbit dan barang-barang lain," kata Ikhwan.
Katanya, selama empat tahun keluarganya tinggal di Bukit
Antarabangsa, inilah kejadian pertama yang berlaku ke atas keluarganya.
Wardina dan Ikhwan mempunyai tiga anak.
Sumber: Sinar Harian
This post have 0 komentar
ash.rie8506@gmail.com
EmoticonEmoticon