Monday, December 6, 2010

Hutan Lipur Jeram Linang di Pasir Putih Kelantan

Hutan Lipur Jeram Linang

Hutan Lipur Jeram Linang (HLJL) di Pasir Putih, Kelantan dibangunkan untuk menjadikan ia menarik dan selamat untuk mandi-manda.
Terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari Pasir Putih, Kelantan atau Jerteh, Terengganu, Jeram Linang antara tumpuan warga tempatan saban minggu.

Memasuki kawasan riadah ini, pengunjung dapat melihat pintu gerbang mengalu-alukan kedatangan pelawat yang dibuat daripada kayu cengal.
Jika dari luar Kelantan, jangan bimbang kerana ada kedai makan menyajikan masakan kampung untuk dinikmati bersama ahli keluarga atau rakan.

Diubah suai sejak lima tahun lalu, HLJL selamat untuk kanak-kanak yang ingin mandi-manda.


Untuk kemudahan pengunjung, ada beberapa kolam kecil dibina dengan penghadang konkrit bagi memberikan lebih banyak tempat mandi terutama pada hujung minggu.

Penghadang itu berfungsi sebagai jambatan dan memudahkan pengunjung yang ingin menyeberang sungai.
Jika mahu lebih keseronokan, apa kata anda mencuba gelongsor air. Empat gelongsor simen dibina di tebing sungai dengan paras ketinggian yang berbeza sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Anda tidak perlu risau jika berkunjung pada hari minggu kerana ada tiga tempat mandi berbentuk kolam empat segi bermula dari bahagian bawah jeram berkenaan.

Taman permainan kanak-kanak disediakan berhampiran sungai untuk memberi peluang kanak-kanak mengeringkan badan selepas lama berendam di sungai.